Tuesday, July 20, 2010

Dahsyatnya Doa Ibu



Pemuda Derhaka Meninggal Dunia dalam Husnul Khatimah

Amin dan Adi merupakan adik-beradik kandung. Mereka lahir dalam keluarg yang taat beragama namun tingkah laku mereka berbeza. Amin, si abang sejak kecil dikenali sebagai seorang yang baik dan banyak menghabiskan masa di masjid. Si adik, Adi pula seorang yang nakal sejak kecil dan sejak usia remaja sudah mula berjinak-jinak dengan tempat maksiat. Hampir setiap hari dia mabuk dan melakukan pelbagai maksiat.

Ibunya yang kini lanjut usianya hanya mewarisi kedai peninggalan arwah bapanya. Selama ini ibunya yang menjada kedai dan berusaha membesarkan kedua-dua orang anaknya. Melihat tingkah laku anaknya yang tetap tidak mahu berubah, ibunya berasa sedih yang tidak dapat digambarkan. Adi bukan sahaya mencuri di rumah orang lain tetapi dia turut mencuri wang dan barang kemas ibunya sendiri. Ibunya tidak mampu berbuat apa-apa melainkan memohon daripada Allah yang Maha Kuasa semoga anaknya mendapat hidayah dan kembali ke jalan yang lurus.

Pada suatu hari, Adi pulanh ke rumah dan memohon bahagian harta pusaka peninggalan bapanya. Dia berkata kepada ibu dan abangnya dia mahu menggunakan wang itu bagi memulakan perniagaan. Ibu dan abangnya merasa lega dan gembira kerana mereka menyangka Adi insaf dan mengubah cara hidupnya. Alangkah terkejut dan marahnya mereka apabila mengetahui perniagaan yang mahu dijalankan itu adalah rumah pelacuran. Ibu dan abangnya tidak bersetuju dan enggan memberikan wang kepadanya.

Pada malam hari, secara senyap2 Adi masuk ke dalam bilik ibunya dan mencuri dokumen harta pusaka bapanya. Ibunya terjaga daripada tidur dan sempat melihat Adi mencuri dokumen itu. Dia cuba menghalang Adi tetapi Adi menendang ibunya dengan kasar. Dalam kesakitan, ibunya berdoa, "Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada anakku Adi, semoga dia kembali ke jalan yang Engkau redhai."

Selepas kejadia itu, Amin merenung nasib dirinya. Tiba-tiba satu suara halus berkata-kata kepadanya, "Sejak kecil engkau sentiasa melakukan kebaikan dan rajin beribadah. Engkau mendapat tempat di hati masyarakat tetapi engkau tidak merasa sedikit pun nikmat dunia. Lihatlah adikmu, dia puas menikmati hidupnya. Dia gembira dengan ramai wanita di sekelilingnya. Engkau sama sekali tidak merasakan kegembiraan itu. Mengapa engkau tidak mahu mengunjungi rumah pelacuran yang adikmu usahakan itu?Datang sekali sahaja, kemudian bertaubatlah. Engkau boleh membaca istighfar beribu-ribu kali dalam solat tahajud memohon keampunan daripada Allah. Bukankah Allah itu Maha Pengampun?"

Pujukan hawa nafsunya itu ternyata mempengaruhi fikiran Amin yang waras. Begitulah kerja syaitan yang menggoda manusia secara halus, ia masuk ke dalam aliran darah manusia dan memujuk manusia melakukan maksiat.

Dakam hatinya, Amin berkata, "Betul juga. Mengapa aku tidak mahu berhibur? Sekali-sekala apalah salahnya. Malam nanti aku akan pergi ke rumah pelacuran itu. Selepas berseronok seketika, aku pulang dan bertaubat. Bukankah Allah itu Maha Pengasih dan Pengampun?"

Pada waktu yang sama di rumah pelacuran, Adi juga termenung dan memikirkan untung nasibnya. Dia mulai bosan dengan kehidupan yang dijalaninya selama ini. Hati nuraninya berkata, "Bertahun-tahun aku hidup bergelumang dengan dosa. Aku melakukan segala jenis maksiat. Sampai bila aku hendak hidup begini? Keluargaku membenciku, masyarakat juga membenciku. Mengapa aku tidak cuba menjadi baik seperti abangku? Sekiranya aku terus hidup begini, aku pasti masuk neraka kelak sementara abangku masuk syurga. Tidak, aku tidak boleh terus hidup dalam maksiat!"

Dia terbayang apa yang kelak akan terjadi pada dirinya apabila dia mati. Dengan itu, dia bertekad hendak mengubah kehidupannya. Hatinya berkata, "Aku mesti mengubah hidupku ini. Selepas maghrib nantu, aku hendak pergi ke masjid di mana abangku selalu solat. Aku mahu solat bersama-samanya dan aku mahu bertaubat. Aku mahu kembali ke pangkuan Allah. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosaku selama ini."

Pada malam itu, kedua-dua adik beradik itu melaksanakan niat masing-masing. Sesudah mengerjakan solat Maghrib di masjid, Amin pulang ke rumah mengganti baju dan kemudia dia menuju ke rumah pelacuran adiknya. Sementara itu Adi sudah mula meninggalkan rumah itu dan berjalan menuju ke masjid.

Apabila Amin sampai di rumah pelacuran itu, dia mencari-cari adiknya tetapi tidak berjumpa. Amin meneruskan niatnya dan hanyut dengan maksiat di rumah pelacuran itu. Pada waktu yang sama, Adi samapi di masjid. Dia bertekad hendak bertaubat, lalu dia terus mengambil wuduk dan masuk ke dalam masjid. Adi mencari-cari abangnya tetapi ternyata Amin tiada di situ. Orang yang berada di masjid itu juga tidak tahu di mana abangnya. Adi meneruskan niatnya dan mengerjakan solat. Sesudah solat, dia beristighfar sebanyak-banyaknya sambil air matanya bercucuran dengan penuh penyesalan. Tiba-tiba bumi bergoncang dengan hebatnya.

Di sekelilingnya orang menjerit ,"Gempa bumi! Gempa bumi!"

Semua orang panik dan lari bertempiaran keluar dari masjid dan rumah masing-masing bagi menyelamatkan diri. Adi yang larut dalam wirid dan doanya tidak sedar apa yang berlaku di sekelilingnya, malah dia tidak dapat merasakan gempa yang hebat itu. Pada malam itu, banyak bangunan yang runtuh termasuk masjid dan rumah pelacuran milik Adi.

Keesokan paginya, orang ramai sibuk mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan. Ada yang masih bernyawa dan ramai yang terkorban. Orang ramai turut menemukan mayat Amin dan seorang pelacur dalam keadaan yang memalukan. Adi turut terkorban dalam runtuhan masjid. Orang ramai menemukan mayatnya dengan kedua-dua belah tangannya memegang Al-Quran di dadanya.

Orang ramai yang mengenali kedua-dua adik beradik itu menitiskan air mata melihatkan keadaan Amin dan Adi tetapi mereka kehairanan mengapa mayat Amin berada di rumah pelacuran sementara mayat Adi pula berada di dalam masjid. Amin yang selama hidupnya adalah seorang ahli ibadah mati dalam keadaan tragik dan memalukan. Sebaliknya, Adi yang selama ini dikenali sebagai ahli maksiat, mati dalam husnul khatimah.

Ibunya menangis tanpa henti apabila menerima berita kematian kedua-dua orang anaknya. Kesedihannya bertambah apabila melihat mayat Amin yang terkorban dalam pelukan seorang pelacur. Barulah dia sedar selama ini dia tidak pernah mendoakan Amin kerana menganggapnya anak yang soleh. Dia terlupa memohon daripada Allah supaya Amin tetap taat dan istiqamah.

Doakan Semua Anak-anakmu

Perisitwa ini memberi pengajaran yang berharga kepada kita. Kematian itu datang menjemput kita pada bila-bila masa sahaja. Hanya Allah yang mengetahuinya. Dengan itu, jangan sekali-kali kita menuruti hawa nafsu. Siapa tahu, sewaktu kita sedang melakukan kejahatan, pada waktu itulah maut datang menjemput kita. Nauzubillah, semoga Allah sentiasa menjaga kita dan memberikan kematian yang baik buat kita semua.

Wahai ibu-ibu, doakanlah kesemua anak-anakmu semoga mereka memperoleh kebaikan di akhirat dengan husnul khatimah. Walaupun seburuk mana kelakuan anakmu ataupun sebaik mana mereka, janganlah lupa untuk mendoakan mereka.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
" Tiga jenis doa yang mustajab yang tidak diragukan keajaibannya adalah doa orang tua
untuk anaknya, doa orang musafir dan doa orang yang dizalimi."
~riwayat Bukhari dan Muslim~

Sabda Rasulullah saw:
"Doa orang tua untuk anaknya sema dengan doa nabi untuk umatnya."
~hadis laporan ad-Dailami~



(dipetik dari buku "Dahsyatnya Doa Ibu" oleh Syamsuddin Noor)




0 comments: