Assalamualaikum wbt...
Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya Kami yang menghidup dan mematikan,
dan kepada kami tempat kembali (semua makhluk)."
(Surah Qaaf 50: 43)
Saya pasti semua sudah sedia maklum sahabat kita, saudara Nabil Marwan telah kembali ke Rahmatullah pada malam Jumaat 2 Julai 2009. Alhamdulillah Allahyarham bertemu Allah pada malam yang mulia iaitu malam Jumaat. Sesungguhnya pemergian Allahyarham terkesan buat seluruh warga UIA yang mengenali beliau. Malam tadi sahaja, 7 mesej masuk ke peti mesej saya memberitahu berita pemergian Allahyarham. Walaupun tidak beberapa mengenali Allahyarham tetapi pemergiannya memberi impak yang besar dalam diri saya. Sebagai seorang hamba Allah yang banyak sekali melakukan dosa terhadapNya, membuat saya tertanya bila pula seruan Ilahi akan menjemput saya? Bersediakah saya di waktu itu? Bagaimanakah keadaan saya di waktu itu?
Daripada Abdullah bin Amr bin 'ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Bahawasanya Allah swt. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain."
-Hadith riwayat Muslim-
Sesungguhnya di akhir zaman ini, satu persatu alim ulama' serta golongan yang memegang Al-Quran pergi meninggalkan kita. Allahyarham yang juga merupakan seorang hafiz Quran turut meninggalkan kita. Jika peribahasa Melayu mengatakan "yang patah tumbuh, yang hilang berganti", tetapi peribahasa ini tidak boleh diguna pakai untuk alim ulama'. Mereka patah payah tumbuh, hilang payah berganti. Sampailah suatu ketika nanti, Bumi ini akan gersang dan ketandusan para ulama' dan akhirnya lenyaplah mereka dari muka Bumi ini. Maka saat itu, sudah tidak bererti lagi hidup di dunia ini di mana kesesatan bermaharajalela. Manusia telah hilang nilai dan pegangan hidup. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang 'berbaki' ini.
Firman Allah SWT:
"Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila waktu
kematiannya telah datang. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa
yang kamu kerjakan."
(Surah Al-Munafiqun 63:11)
Firman Allah SWT:
"Katakanlah malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu akan
mematikan kamu, kemudian kepada Tuhanmu, kamu akan dikembalikan."
(Surah As-Sajadah 32:11)
Firman Allah SWT:
"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.."
Surah Ali-Imran 3:185)
Sesungguhnya kita semua tidak akan dapat lari dari hakikat kematian. Kematian tersebut akan menjemput sesiapa sahaja dan di mana jua. Ketika kita dilahirkan ke dunia, kita menangis dan apabila kita meninggalkan dunia, orang di sekeliling kita akan menangis. Di kubur kelak kita akan keseorangan. Hanya amalan yang menemani kita. Tiada lagi sanak saudara, sahabat handai untuk menemani kita. Saat amalan kita dihitung, jantung berdegup kencang menantikan jawapan perhitungan. Ketakutan yang menyelubungi diri tidak dapat digambarkan. Tiada sesiapa di sana untuk mententeramkan kita. Dan saat itu barulah kita tersedar, betapa singkatnya hidup, betapa menyesalnya kita waktu kita di dunia terbuang begitu sahaja tanpa usaha untuk mengumpul bekalan ke akhirat.
Sahabat sekalian, tegurlah saya dan ingatkan lah saya supaya tidak terus leka dan hanyut dalam syurga dunia yang hanya sementara. Semoga Allah mengampuni dosa saya dan kalian.
Akhir kata, Al-Fatihah buat Allahyarham Nabil Marwan. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan muttaqin dan para solihin.Ameen...
Allahyarham Nabil 3 dari kiri ketika membuat persembahan di UIA PJ
bersama dengan ahli kumpulan Iq-Nig yang lain
Allahyarham semasa membuat persembahan untuk
minggu Ta'aruf UIA PJ sesi 08/09 pada tahun lepas.
0 comments:
Post a Comment